Monday, January 12, 2009

HAPUSKAN KEGANASAN ZIONIS DAN AMERIKA SYARIKAT ( YAKJUJ DAN MAKJUJ )..BOIKOT BARANGAN MEREKA!!

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengusulkan kepada Dewan Rakyat supaya Malaysia menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas Palestin.Perdana Menteri yang mengusulkan perkara itu dalam Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza juga mengusulkan kepada dewan mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua dewan perundangan dan parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.Ketika berucap mencadangkan usul-usul ini mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3) di Dewan Rakyat di bawah "Mengecam Serangan Rejim Zionis Israel ke atas Wilayah Gaza", Abdullah berkata pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda tanpa sebarang timbang rasa yang sedang dilakukan oleh Israel di wilayah Gaza perlu dikecam dan dikutuk oleh seluruh dunia kerana ia melibatkan isu pencabulan undang-undang antarabangsa."Bahawa serangan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusian antarabangsa, piagam PBB serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Perlindungan Orang-orang Awam dalam Masa Perang," katanya.Abdullah juga turut mengemukakan kepada Dewan untuk menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata itu.Dalam ucapan lebih 20 minit itu yang mengandungi 10 ketetapan, Abdullah juga mengusulkan kepada dewan menggesa perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas perhimpunan Agung PBB - "Uniting For Peace" di bawah Resolusi 377A(V), sekiranya pelaksanaan ketetapan Majlis Keselamatan PBB gagal menguatkuasakan ketetapannya yang diputuskan pada 8 Jan lepas.Abdullah memberitahu dewan bahawa oleh kerana resolusi ini tiada sebarang peruntukan untuk mengadakan satu kumpulan atau pasukan antarabangsa maka tiada siapa untuk menentukan supaya tentera Israel berundur dari Gaza atau menentukan gencatan senjata benar-benar berlaku.Beliau turut mengusulkan kepada Dewan menggesa pihak-pihak yang yang terlibat supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai antarabangsa serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel.Abdullah berkata Kuala Lumpur pernah menaruh harapan usaha Amerika Syarikat untuk membuka jalan penyelesaian melalui proses damai Annapolis pada 27 Nov 2007, tetapi merasa amat kecewa apabila proses damai itu menemui jalan buntu.Sambil mengusulkan kepada dewan mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza yang mengakibatkan sehingga sekarang hampir 900 terbunuh dan lebih 4,000 cedera termasuk bayi, orang tua, wanita dan kanak-kanak, Perdana Menteri turut mencadangkan dewan menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Gaza.Perdana Menteri dalam ucapannya itu juga mengusulkan kepada dewan menyeru rakyat Palestin supaya bersatu-padu dengan tujuan mempertahan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat serta menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.Satu lagi usul yang dibentangkan kepada dewan ialah memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara yang sependapat untuk mendukung prinsip-prinsip antarabangsa dan piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di Timur Tengah sekarang.Satu lagi usul menyentuh rayuan kepada masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dengan serta-merta.Abdullah berkata serangan ke atas Gaza kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan oleh rejim Zionis sejak penaklukan wilayah itu pada 1967 di mana serangan itu telah melumpuhkan sebuah wilayah kecil yang tidak berupaya mempertahan dirinya dan juga kekejaman tentera Israel terharap orang Palestin tiada tolok bandingannya."Malangnya, ada juga pihak yang bersikap serong dan meletakkan tanggungjawab bulat-bulat ke atas pejuang-pejuang Hamas di Gaza yang melancar roket-roket ke arah Israel. Tetapi Ahli Yang Berhormat sekalian haruslah sedar bahawa ini adalah tindakan orang-orang yang terkepung, tidak boleh bebas dan merentas sempadan wilayah mereka sendiri."Pada 27 Dis 2008, Profesor Richard Falk, pelapor khas hak PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah yang diduduki, telah menyifatkan pengeboman Israel ke atas Gaza sebagai pencabulan besar terhadap perundangan kemanusiaan antarabangsa seperti yang ditetapkan oleh Konvensyen Geneva," katanya.Sambil merujuk kepada keputusan Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini mengenai Gaza, Abdullah berkata Majlis Keselamatan tidak bermaya bertindak kerana Israel ada penyokong kuat di dalamnya yang menghalang majlis itu mengambil tindakan."Sebenarnya mengenai isu Palestin, Amerika Syarikat telah menggunakan kuasa vetonya sebanyak 28 kali dalam tempoh 36 tahun sejak 1973, iaitu menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak," katanya."Marilah kita bersama-sama menyeru bakal Presiden Barack Obama melakukan sesuatu yang benar-benar membawa pembaharuan. Amerika Syarikat mengaku negara demokrasi yang terulung di dunia. (Tetapi) Mengapa ia menolak keputusan pilihan raya umum Palestin dalam 2006 yang telah memberi kemenangan kepada parti Hamas," kata Abdullah."Amerika Syarikat mengaku dirinya jaguh mempertahankan hak asasi manusia. (Tetapi) Mengapa ia membiarkan Israel membunuh kanak-kanak, orang tua dan wanita biasa serta orang awam lain, semuanya tidak berdosa," katanya.Abdullah memberitahu persidangan khas itu, beliau telah mengutus surat kepada Setiausaha Agung PBB, ketua-ketua kerajaan negara anggota Majlis Keselamatan, negara OIC, negara NAM serta beberapa tokoh seperti Pope Bendict XVI, Obama dan bekas presiden Amerika Jimmy Carter, untuk membantu usaha mencari kedamaian di Timur Tengah amnya dan Gaza khasnya.Perdana Menteri berkata kerajaan melalui Kementerian Luar telah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hamidon Ali di New York untuk terus berusaha demi keamanan dAn keselamatan bumi Palestin, khususnya bekerjasama rapat dengan wakil anggota OIC dan NAM."Sekiranya gencatan senjata terus tidak berkuatkuasa dan keadaan buruk di Gaza tidak berubah, maka negara-negara yang sependapat dengan Malaysia mestilah berusaha semula untuk meminta Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar Perhimpunan AgUng berlandaskan Resolusi No.377 A(V) Tahun 1950 - "Uniting for Peace", katanya.Abdullah berkata rakyat Malaysia berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan serta merta keganasan negara Israel.Perdana Menteri mengucapkan terima kasih ke atas keprihatinan para Anggota Parlimen Malaysia, tidak mengira agama, bangsa atau haluan politik, yang bersedia membahaskan bersama satu isu yang sangat rapat di hati rakyat Malaysia."Demi mempertahankan kredibiliti negara, kita harus bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim zionis ke atas rakyat Palestin," katanya.Katanya rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

No comments: