Tuesday, September 23, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDLFITRI KEPADA SEMUA YANG MENGENALI DIRI INI.. MAAF ZAHIR BATIN


Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan permulaan Hari Raya Puasa tahun ini akan diadakan pada petang Isnin, 29 September bersamaan 29 Ramadan 1429 Hijrah di 29 tempat yang telah ditetapkan di seluruh negara.
"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen," menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
Majlis Raja-Raja juga telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Saturday, September 20, 2008

WAHAI GURU..

Kementerian Pelajaran menasihatkan guru supaya tidak membincangkan isu semasa politik di sekolah kerana dikhuatiri ia akan mengganggu tugas sebenar mereka.Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail berkata kementerian tidak mahu guru menjadi seolah-olah penganalisis politik dan mereka sepatutnya menumpukan sepenuhnya kepada tugas mendidik."Beban kerja guru sudah cukup berat. Kita tidak mahu guru kita terganggu atau terpesong dengan apa yang berlaku dalam keadaan politik sekarang. Jadi, saya tidak mahu mereka membincangkan isu politik di kawasan sekolah terutama di kantin," katanya selepas menghadiri mesyuarat Permuafakatan Pengurusan Pendidikan, di sini, Sabtu.Razali berkata dengan peruntukan yang besar daripada kerajaan iaitu sejumlah RM31 bilion menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), guru sewajarnya sedar tugas mereka adalah memastikan transformasi murid dalam bidang akademik, kurikulum dan sahsiah benar-benar dapat dijayakan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan kementerian.Bagaimanapun, katanya setakat ini kementerian belum menerima sebarang laporan mengenai kegiatan tersebut dan menegaskan seramai 360,000 guru di seluruh negara boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati melanggar etika kerja.Sementara itu, Razali berkata bagi memastikan guru tidak terus dibebani dengan tugasan di luar tugas hakiki mereka, kementerian kini menetapkan nisbah 17 guru bagi 10 kelas berbanding 15 guru sebelum ini.Beliau berkata bagi tujuan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan pengambilan 9,000 staf sokongan di sekolah supaya guru tidak lagi dibebani dengan kerja perkeranian atau tugasan di makmal sekolah.Mengenai tragedi pelajar perempuan, Lai Ying Xin, 16, yang mati dibunuh selepas diculik, di Kulaijaya dekat sini, Selasa lepas, Razali berkata Jemaah Nazir sudah diarah untuk membuat pemantauan kejadian itu."Tidak banyak apa yang boleh dilakukan oleh kita kerana kejadian ini berlaku di luar sekolah...kita sudah membuat sesi kaunseling kepada keluarga mangsa," katanya.

Monday, September 15, 2008

PPSMI DALAM DILEMA?

Sebarang perubahan terhadap sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimulakan pada 2003 tidak akan dilakukan secara serta merta.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang perubahan jika ada, akan hanya dimulakan daripada murid di tahun satu dan pelajar di tingkatan satu bagi mengelak kekeliruan dan masalah kepada mereka yang telah mengikuti sistem sedia ada.
``Apa jua keputusan yang kita bakal putuskan nanti, ia tidak akan menjejaskan mereka (murid) yang sedang berada dalam sistem pendidikan sekarang.
``Kita tidak akan berlaku kejam kepada pelajar dan saya pun ada anak dalam sistem PPSMI, sudah pasti sebagai ayah, saya pun tak nak perkara ini berubah sebegitu rupa,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku bertajuk ``Malaysia: From Traditional to Smart Schools - The Malaysian Educational Oddyssey'' terbitan Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Kementerian Pelajaran akan membuat keputusan sama ada mengekalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau sebaliknya, selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 diumumkan menjelang penghujung tahun ini.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana keputusan mengubah dasar PPSMI secara drastik tidak dapat dibuat pada masa kini memandangkan proses penilaian mengenainya sedang dijalankan.
Malah, katanya, PPSMI yang sedang berlangsung juga perlu dilaksanakan sehingga tamat tempoh iaitu kepada penghujung tahun ini.
"Memang desakan sama ada kita ubah balik (ke dalam bahasa Melayu) atau kekal, datang daripada kedua-dua belah pihak. Oleh sebab itu, kita perlu melihat pandangan secara menyeluruh.
"Sungguhpun begitu, Kementerian berpendapat, masa yang sesuai untuk kita umumkan penyesuaian kepada kehendak pihak-pihak berkenaan ialah selepas keputusan UPSR tahun ini diketahui," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak yatim dan ibu tunggal anjuran Pertubuhan Belia Nur Kasih dan Pergerakan Puteri UMNO Kedah di sini malam ini.
Hishammuddin diminta mengulas gesaan supaya beliau meletak jawatan jika gagal melaksanakan semula pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu semalam.
Cadangan itu merupakan keputusan yang dicapai pada Persidangan Meja Bulat Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan Melayu dengan alasan bahasa Inggeris gagal membantu murid-murid menguasai Sains dan Matematik.
Ahli Jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, daripada analisis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, hampir 30 peratus pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) gagal Bahasa Inggeris.
Menurut Hishammuddin, Kementerian Pelajaran memerlukan jangka masa yang lebih realistik iaitu sehingga penghujung tahun ini bagi membuat keputusan terbabit.
Katanya, pihaknya juga tidak akan membelakangi sebarang keputusan ataupun cadangan yang dibuat melalui Persidangan Meja Bulat tersebut.
"Kita sudah adakan dua persidangan meja bulat dan sekarang persidangan ketiga sedang berlangsung. Daripada persidangan itu, kita telah bincangkan 16 kertas kerja.
"Ada yang sokong dan ada juga tidak sokong. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada cadangan sahih yang membolehkan kita merumus bahawa ia perlu diubah sekarang," ujarnya.
Ditanya tentang gesaan meletak jawatan, Hishammuddin memberitahu, beliau memegang jawatan tersebut kerana amanah dan tanggungjawab.
Oleh itu, beliau berkata, soal jawatan bukanlah sesuatu pertimbangan mutlak baginya.
"Saya tahu keputusan yang dibuat memang tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak. Polisi PPSMI wujud sebelum saya pegang jawatan.
"Namun begitu, selagi saya pegang jawatan ini, saya tetap perlu pikul dan lakukan sebaik-baiknya," katanya.
Hishammuddin yakin, sebarang keputusan yang akan dibuat kelak adalah untuk kepentingan para pelajar generasi akan datang.
''Ini sesuatu yang akan menentukan nasib dan masa depan anak-anak kita. Kalaulah selepas diumumkan itu ia masih dalam keadaan teruk dan semua NGO rasakan tidak sesuai, selepas itu saya dengan rela hati boleh letak jawatan,'' katanya.

PENJENAMAAN SEMULA UPSR 2015

Mulai 2015, prestasi murid sekolah rendah tidak akan lagi dinilai sepenuhnya berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana peperiksaan itu hanya mewakili 30 peratus daripada markah keseluruhan murid. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata perubahan itu selaras dengan pelaksanaan sistem penilaian baru murid sekolah rendah yang akan diperkenalkan pada 2010. Menerusi penilaian baru menggunakan sistem pengumpulan mata seperti di institusi pengajian tinggi (IPT) itu, markah yang diperoleh murid dari Tahun Satu hingga Enam akan dikumpul dan dikira bagi menentukan pencapaian murid sepanjang tempoh itu. Mengikut perancangan, UPSR mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah keseluruhan yang akan digabungkan dengan empat penilaian lain iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian. Alimuddin berkata, mulai 2010 semua murid Tahun Satu di seluruh negara akan menduduki peperiksaan seragam yang disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). "Bagaimanapun, sekolah masih diberi kuasa menyediakan soalan bagi peperiksaan peringkat sekolah untuk memberi keadilan kerana tidak semua murid mempunyai pengetahuan sama," katanya ketika dihubungi Berita Harian. Beliau berkata, buat permulaan 50 sekolah rendah termasuk di luar bandar dipilih menjalani sistem penilaian baru itu tahun ini sebelum diperluaskan kepada 500 sekolah, tahun depan. "Kami akan melihat perkembangan di sekolah terbabit untuk tempoh dua tahun dan melakukan penambahbaikan yang difikirkan sesuai sebelum dilaksanakan kepada semua murid Tahun Satu di seluruh negara pada 2010. "Jadi, tempoh sebenar kumpulan pertama murid yang akan menduduki UPSR di mana markahnya hanya mewakili sekitar 30 peratus berbanding 100 peratus ketika ini adalah pada 2015," katanya. Ditanya sama ada UPSR akan dimansuhkan, beliau berkata, perkara berkenaan akan ditentukan selepas tempoh dua tahun kajian projek perintis itu selesai dilaksanakan pada penghujung tahun depan. "Kalau ada pandangan bahawa UPSR sudah tidak sesuai selepas kami memperkenalkan sistem penilaian baru nanti, maka ia akan dibincangkan dan diputuskan kemudian," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Haili Dolhan, berkata sistem penilaian baru itu mempunyai dua tahap iaitu tahap satu membabitkan murid Tahun Satu dan Dua, manakala tahap dua (Tahun Tiga hingga Enam). Murid tahap satu dinilai berdasarkan tafsiran sekolah secara 100 peratus termasuk dalam ujian, aktiviti dan tingkah laku. Pada tahap dua pula, 70 peratus penilaian ditafsir sekolah membabitkan aktiviti, jasmani dan kokurikulum, manakala bakinya melalui penafsiran pusat, termasuk peperiksaan LPM.

HARAPAN BARU BUAT SINDROM DOWN

Hospital Pusrawi kini menjadi peneraju utama di Malaysia yang menyediakan rawatan Xenotransplan sel stem iaitu pemindahan sel stem yang berpotensi menggalakkan pertumbuhan semula tisu rosak atau memperbaiki kecacatan organ pesakit yang menghidap penyakit melibatkan saraf.
Pakar dan pengasas Xenotransplan terkemuka dunia, Profesor Dr. E.Micheal Molnar berkata, kaedah tersebut yang menggunakan fetus arnab untuk dijadikan sel stem mampu memberikan keajaiban kepada pesakit saraf termasuk penyakit-penyakit lain seperti barah darah (leukemia), talasemia, jantung, diabetes dan penyakit parkinson.
''Dengan teknologi Xenotransplan BCRO Stem Cell Transplantation Sdn. Bhd, mereka yang mengalami kecederaan atau penyakit-penyakit berkaitan saraf yang lain tidak lagi perlu hidup dalam kesakitan.
''Ini kerana, menerusi pemindahan sel stem, ia berfungsi menggalakkan sel yang masih sihat di sekitar kawasan yang cedera menggantikan semula sel yang rosak pada tisu atau organ sekali gus mengembalikan semula kesihatan tubuh badan pesakit, '' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, rawatan Xenotransplan juga berkesan untuk penyakit seperti Sindrom Down dan Autisme.
Katanya juga, sejak dimulakan pada tahun 2006, hasil penyelidikan yang dijalankan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), sehingga kini seramai lebih 200 pesakit yang berkaitan telah berjaya dirawat di negara ini walaupun ada yang beranggapan kos rawatan agak mahal.
'' Walaupun ia telah lama diperkenalkan di negara-negara lain, kejayaan itu membuktikan bahawa Xenotransplan mempunyai masa depan yang cerah dalam membantu pesakit-pesakit di negara ini,
''Dengan kos sebanyak RM26,500 bagi kanak-kanak manakala RM60,000 untuk dewasa, ia mungkin dianggap mahal, tetapi pulangan kesihatan yang diperoleh sebenarnya lebih utama, tambahan pula, kerajaan Malaysia memberikan sokongan sepenuhnya terhadap penggunaan teknologi ini, '' katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin kaedah rawatan tersebut akan mendapat sambutan di kalangan warga Malaysia meskipun ia tidak dilakukan secara komersial.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau sekeras-kerasnya menafikan kenyataan sebuah akhbar tempatan yang mengatakan bahawa pemindahan sel stem tidak sesuai untuk manusia.
Katanya, artikel tersebut yang menerangkan bahawa kaedah pemindahan sel stem boleh memberi kesan negatif kepada tubuh manusia kerana faktor berlainan spesies adalah tidak benar.
Selain itu, beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh Profesor Dr. Collin P. McGuckin dan Setiausaha Malaysian Tissue Engineering Association (TESMA), Dr. Aminuddin Saim itu juga tidak mempunyai bukti.
''Saya kesal kerana mereka sewenang-wenangnya membuat kenyataan sedemikian yang sudah tentu boleh menyebabkan kekeliruan orang ramai, tambahan pula kajian mereka tidak ada bukti yang kukuh.
''Justeru, saya harap perkara ini tidak patut berulang lagi, dan mereka seharusnya membuat penelitian sebelum membuat sebarang kenyataan, '' katanya.
DR. E. Michael Molnar (kiri) bersama Pengarah Perubatan Hospital Pusrawi, Datuk Dr. Abd. Halim Abd. Jalil pada sidang media di Hospital Pusrawi, semalam.

Tuesday, September 2, 2008








Ramadan menjelma
bermulalah perjuangan insan melawan nafsu..
memenjarakan segala kemahuan duniawi..
saat yang dinanti setiap hamba-hamba Nya yang soleh..
yang mengerti makna di sebalik hikmah berpuasa..
bersahur didinihari..
sepi menghadap rezeki..
bekalan ampuh berdepan hari mendatang..
melalui liku-liku penuh dugaan..
kesabaran dan rasa keinsafan perlu terus dilatih..
semoga Ramadhan ini..
kita tidak berlapar lagi..