Tuesday, April 13, 2010

Tunggu giliran kamu

LONDON - 'Awas Manchester United, tunggu giliran kamu'.

Demikian amaran pengurus Manchester City, Roberto Mancini yang tidak sabar berdepan United pada pertemuan dua jiran setempat Manchester itu Sabtu ini.

Selepas menyaksikan City membelasah Birmingham 5-1 dalam aksi Liga Perdana England kelmarin, Mancini pastinya berharap anak buahnya mampu mengulangi aksi cemerlang tersebut ke atas musuh setempat, United.

"Jika kami meneruskan aksi seperti hari ini (kelmarin) dan juga ke atas Burnley, maka kami memiliki peluang cerah untuk menduduki tempat keempat," kata Mancini.

"Kami akan turun pada pertemuan penting dengan berdepan sebuah pasukan yang hebat, tetapi bagus juga kami mempunyai masa selama seminggu sebagai persiapan kerana pemain saya menggunakan banyak tenaga hari ini.

"Kami perlu menghormati United dan sudah tentu kami juga mahu memenangi perlawanan itu, tetapi kami kena fikir tentang kedudukan kami dalam liga, bukan tentang United. Semuanya adalah mengenai kami."

Mancini juga memuji aksi hebat dua bintangnya, Carlos Tevez dan Emmanuel Adebayor yang masing-masing meledakkan dua gol dan satu lagi dijaringkan oleh Nedum Onuoha.

"Carlos dan Emmanuel adalah dua penyerang luar biasa dan jika mereka terus bermain seperti ini, peluang kami memenangi tempat keempat semakin cerah," katanya.

"Mustahil kami akan terus menjaringkan tiga atau empat gol pada pertemuan selepas ini. Kami akan cuba, tetapi kalau menang 1-0 pun saya sudah cukup gembira."

City kini enam mata selesa mengatasi Liverpool di tangga keempat dan dengan empat lagi baki saingan musim ini, pencabar utama kepada mereka adalah Tottenham Hotspur. - Agensi

No comments: