Saturday, February 27, 2010

Wahai manusia..jadilah manusia yang penyayang..


Al Fatihah buat Adik Syafiya Humaira..

Aku menyaksikan Buletin Utama 27 Feb.. dengan tiba-tiba air mataku mengalir tanpa disedari..sudah lama aku tidak begini. Melihat wajah kaku si anak kecil yang tidak bernyawa lagi. Sangat sedih aku mengenangkan penderitaan kanak-kanak ini sepanjang 3 tahun kehidupannya di dunia ini. Kesan deraan yang konsisten, bermakna setiap hari hidupnya penuh azab. Pendera itu seorang positif ganja. Penduduk sekitar mengetahui kejadian tapi mendiamkan diri..sungguh..kalau aku ternampak kejadian sebegitu di depan mata, maka azab jugalah akan kuberikan kepada pendera itu walau kulihat wajahnya sangat bengis dan garang. Realitinya, di mana tanggungjawab kita sebagai masyarakat penyayang..Semoga..kisah ini membuka mata dan hati kita untuk lebih bertanggungjawab dengan nasib dan masa depan anak bangsa..


HULU SELANGOR 27 Feb. - Betapa berat seksaan yang dihadapi oleh Allahyarham Syafiah Humairah Sahari sebelum dia menemui ajal, kelmarin.

Selain dipukul dan ditampar, kanak- kanak malang itu turut dipijak dan ditendang oleh teman lelaki ibunya tanpa belas kasihan, hanya disebabkan oleh kesalahan kecil yang dilakukannya.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek yang tidak berhati perut.

Hari ini, bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak itu di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati, kematian Syafiah Humairah akibat kecederaan serius termasuk kulit kepalanya terkoyak kerana dipijak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, bedah siasat mendapati, mangsa mengalami penderaan berterusan dan ia boleh dilihat berdasarkan kepada kecederaan yang terdapat pada tubuhnya.

"Terdapat kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dipercayai akibat dipukul dengan objek keras pada tubuh mangsa.

"Kesan lebam turut dikesan di bahagian belakang tubuh mangsa selain di leher, pipi dan bahunya," katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital itu di sini hari ini.

Kelmarin, Syafiah Humairah mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Kanak-kanak malang itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam oleh teman lelaki ibunya, mendakwa dia terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.

Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun kemudian ditahan pukul 3 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, kematian Syafiah Humairah yang begitu kejam turut membongkar rahsia perhubungan haram antara ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejak enam tahun lalu.

Ibu kanak-kanak itu yang masih bersuami, disangkakan telah berkahwin dengan suspek kerana mereka memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan, malah, wanita itu kini sedang hamil empat bulan.

Namun, rahsia perhubungan mereka yang hanya menyamar sebagai suami isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati pasangan itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.

Difahamkan, bapa kanak-kanak malang itu yang hanya dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak tahun 2006.

Selain berhadapan tuduhan bunuh, suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang syariah kerana bersekedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah.
HULU SELANGOR 27 Feb. - Seorang saksi mendakwa, dia ternampak Syafiah Humairah Sahari disepak seperti bola selain dicampak dan dipijak oleh teman lelaki ibu kanak-kanak itu.

Kejadian itu, menurut Ahmad Fikri Khalis Zakaria, 19, berlaku di sebuah padang bola di Kampung Batu 30, Batang Kali di sini kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu.

Ahmad Fikri Khalis berkata, pada masa itu dia ternampak kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut sedang bermain bola di tepi padang berkenaan.

Katanya, suspek yang dipanggil Abang Mat tiba-tiba datang dengan memakai kasut but bola dan memarahi mangsa.

"Abang Mat kemudian menyepak mangsa seperti bola, selepas itu dia mengangkat Syafiah Humairah menggunakan sebelah tangan sebelum mencampakkan kanak-kanak itu ke atas padang.

"Tidak cukup dengan itu, suspek memijak perut mangsa dengan kasut bola dan menyepak beberapa kali bahagian belakang budak tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Kematian Allahyarham Syafiah Humairah mengundang rasa marah semua pihak kerana dia dibunuh teman lelaki ibunya secara kejam, kelmarin.

Akibat rasa marah dengan kejadian itu, penduduk setempat turut menconteng dinding hadapan rumah suspek dengan perkataan 'pembunuh' menggunakan cat merah.

Tambah Ahmad Fikri, mangsa yang tidak menangis ketika itu cuba berdiri tetapi jatuh semula kerana kecederaan yang dialaminya.

Seorang lagi saksi, Faleeq Hakim Zazali, 16, berkata, dia dan Ahmad Fikri cuba membantu mangsa namun dihalang suspek.

"Untuk memastikan Abang Mat tidak terus memukul mangsa, kami hanya mampu mengangkat kanak-kanak itu dan memasukkannya ke dalam teksi suspek.

"Namun, pada sebelah malam, kami dengar berita kanak-kanak itu telah meninggal dunia di hospital," ujarnya.

HULU SELANGOR 27 Feb. - Kanak-kanak mangsa penderaan teman lelaki ibunya yang meninggal dunia dalam keadaan sadis kelmarin, Syafiah Humairah Sahari sering ketakutan setiap kali melihat atau bertembung dengan suspek.

Kanak-kanak tiga tahun itu sanggup bersembunyi di kawasan semak di sekitar rumahnya bagi mengelak daripada ditemui oleh lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Perkara itu didedahkan oleh datuk mangsa, Aziz Shahar, 50, yang memberitahu, sejak menyedari tingkah laku aneh cucunya itu, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Dalam nada sebak, Aziz yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini berkata, dia begitu sedih dengan kejadian yang menimpa cucunya itu.

"Saya pernah melihat kesan parut dan luka seperti dicucuh dengan puntung rokok di kaki dan bawah dagu cucu saya.

"Namun, setiap kali saya bertanya, Syafiah Humairah hanya mendiamkan diri," katanya.

Menurut Aziz, dia tidak dapat memaafkan sesiapa juga suspek yang terlibat dalam pembunuhan cucunya itu, termasuklah jika anak perempuannya sendiri terbabit.

"Saya tidak akan maafkan mereka, walaupun jika dia itu anak saya sendiri," katanya sambil menangis teresak-esak.

Aziz memberitahu, Syafiah Humairah dan abangnya, Mohd. Syafiq Sahari, 7, tinggal secara bergilir-gilir di rumahnya dan kekasih ibunya sejak tahun lalu.

Sementara itu, ibu Allahyarham Syafiah Humairah, Siti Norhanim, 25, ketika ditemui mendakwa, dia tiada di rumah ketika kejadian itu berlaku.

"Saya keluar bekerja sejak Rabu lalu dan tidur di rumah rakan di Cheras. Dia (teman lelakinya) menghubungi saya malam Khamis lalu memberitahu Syafiah mati akibat terjatuh motosikal," katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di ibu negara


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Sungguh tergamak hati segelintir manusia untuk berlaku kejam dan menyiksa kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun sehingga mati.

Apalah kanak-kanak malang itu tahu, sehingga menyebabkan dia dipukul dan diseksa sehingga menemui ajal.

Tanpa rasa kasih sayang, kanak-kanak perempuan ini, Syafia Humairah Sahari mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali malam tadi.

Difahamkan, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak perempuan itu termasuk di bahagian dagu, perut dan bawah telinga.

Kanak-kanak itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam tadi oleh teman lelaki ibunya, yang merupakan seorang pemandu teksi.

Pemandu teksi itu yang ditemani rakannya di hospital mendakwa kanak-kanak itu cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Jururawat yang memeriksa mangsa mencurigai sesuatu apabila lelaki tersebut seolah-olah resah dan tidak mahu memberi sebarang keterangan berhubung kemalangan itu.

Sebaliknya, dia mendakwa perlu meninggalkan kanak-kanak itu di hospital untuk bergegas ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kemalangan itu.

Bagaimanapun, perkara itu terbongkar apabila pihak hospital menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk mengetahui status kemalangan itu dan mendapati tiada sebarang laporan kemalangan jalan raya dibuat di mana-mana balai di kawasan tersebut.

Doktor yang mengesyaki kanak- kanak itu menjadi mangsa dera kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, berikutan laporan itu, polis menahan teman lelaki ibu mangsa, berusia 28 tahun kira-kira pukul 3 pagi ini bagi membantu siasatan.

"Selepas disoal siasat, suspek mengaku memukul serta menampar mangsa sebelum dia rebah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ibu kepada kanak-kanak itu dikatakan pengsan selepas mendengar anaknya itu mati dan kini sedang dirawat di hospital yang sama.

Difahamkan, wanita yang berstatus ibu tunggal berusia 25 tahun itu mempunyai hubungan intim dengan suspek sejak enam tahun lalu dan hasil perhubungan itu juga, mereka mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan.

Menurut Norel Azmi, polis turut mengambil keterangan daripada ibu kanak-kanak terbabit petang ini di bilik mayat hospital.

"Siasatan awal mendapati, suspek mengaku mendera kanak-kanak itu bersama teman wanitanya menggunakan objek tajam," katanya.

Sementara itu, bapa kandung kanak-kanak malang terbabit ketika ditemui di rumahnya dekat sini hari ini bagaimanapun enggan ditemuramah kerana masih dalam keadaan trauma.

No comments: