Saturday, November 21, 2009

Dapatlah orang Labuan makan sayur segar yang banyak lepas ni yes

LABUAN 21 Nov — Labuan, yang sangat bergantung kepada barangan pertanian yang diimport dari tanah besar Sabah dan negeri-negeri lain, merancang untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar di pulau itu bagi aktiviti pertanian.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Sahbudin Jair berkata pada masa ini pulau itu mengimport kira-kira 60,000 tan sayur-sayuran dan 48 tan daging sedar sebulan dari Sabah dan negeri-negeri lain.

Sebagai langkah mengurangkan kebergantungan pulau itu untuk keperluan barangan makanannya, satu pelan tindakan sedang digubal untuk dilaksanakan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata rancangan untuk membangunkan tanah-tanah terbiar, berkeluasan kira-kira 400 hektar di pulau itu sebagai kawasan pertanian dipersetujui kira-kira 400 peladang dan penternak pada satu taklimat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) minggu lepas.

Sahbudin berkata pertubuhan itu juga merancang untuk melatih para lepasan sekolah dan siswazah dalam beberapa bidang kemahiran pertanian, terutamanya penternakan dan penanaman.

Beliau berkata tindakan juga perlu diambil oleh beberapa pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan zon kawasan di pulau itu sebagai zon pertanian.

Pada masa ini, terdapat peladang yang mengusahakan ladang sayur-sayuran tetapi bukan dalam skala besar-besaran, tetapi “hanya tanaman di kawasan rumah masing-masing”. Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMML) Yussof Mohammad berkata dewan telah mengenal pasti projek pertanian untuk dibangunkan di satu kawasan seluas 60 hektar di Kiansam, yang akan dimulakan pada awal tahun depan.

"Kami akan membangunkan tanah berkenaan dengan beberapa jenis tanaman,” katanya.

Yussof berkata DPMML sedang meneliti pelatih-pelatih yang berkelayakan untuk projek usahasama dewan dengan PPN bagi penternakan kambing dan ayam.

"Kami memerlukan pelatih-pelatih sepenuh masa untuk menjalani latihan selama enam bulan sebelum mereka boleh dibenarkan melakukan aktiviti penternakan masing-masing. Kami akan membantu mereka mendapat pembiayaan pinjaman daripada Agro Bank atau Tekun,” katanya.

No comments: