Friday, November 27, 2009

AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

TAWAU: Seramai 1,001 penghidap HIV dan 366 pesakit Aids dikesan di Sabah di antara tahun 1991 sehingga Ogos tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Majlis Penasihat Wanita Dr. Maria Suleiman berkata, dari jumlah tersebut, 150 daripadanya telah pun meninggal dunia.

Bagi daerah Tawau pula katanya, kes terkumpul pesakit HIV/Aids yang direkodkan oleh Jabatan Kesihatan bagi tempoh yang sama ialah seramai 172 orang, termasuk 21 pesakit yang dikesan pada tahun ini.

Sembilan daripada jelasnya meninggal dunia pada tahun ini.

Hubungan seks katanya dikesan menjadi antara punca merebaknya penyakit itu dan kadar jangkitan HIV/Aids di daerah ini ialah 5.54 orang bagi setiap 100 ribu penduduk.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh wakilnya, Linah Bagu, pada Program Penutupan Bengkel Wanita: Penyakit Kelamin dan HIV/Aids yang diadakan di salah sebuah hotel, di bandar ini kelmarin.

Bengkel anjuran Jawatankuasa Kesihatan, Majlis Penasihat Wanita dan Jabatan Pembangunan Wanita Malaysia itu telah berlangsung selama tiga hari, bermula 23 November lalu.

Dalam pada itu, Dr. Maria mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan langkah berhati-hati serta melakukan amalan hidup secara sihat.

Tambahnya, masyarakat juga perlu menjauhi aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong risiko penyakit berkenaan seperti seks rambang atau berkongsi jarum suntikan.

Pasangan yang sudah berkahwin pula katanya haruslah setia pada pasangan manakala yang belum berkahwin perlu menjauhkan diri dari pelakuan seks bebas.

Hadir sama pada program itu ialah Ketua Penolong Pengarah Unit Aids/STD, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Norzehan Mohd Asri.

Beliau merupakan salah seorang penceramah di dalam program terbabit.

Lebih 50 peserta terdiri daripada golongan surirumah, kakitangan awam dan swasta serta pekerja berisiko tinggi, mengikuti bengkel berkenaan.

No comments: