Sunday, July 19, 2009

HAMPIR SERI !

Aksi penonton yang patriotik
Amri Yahyah wira Malaysia menjaringkan 2 gol menekan Manchester United

Saya meyaksikan perlawanan menarik antara Skuad Malaysia menentang Manchester United (MU)di dalam sebuah restoran makanan halal di kawasan Utama Jaya petang semalam. Dikelilingi penyokong bola sepak MU barangkali membuatkan saya rasa seperti asing berada di situ sehinggalah suasana yang sinis melihat dua gol awal MU bertukar menjadi teriakan padu maut saya disertai pelanggan restoran yang semakin bertambah ramai apabila Amri Yahyah berjaya menjaringkan gol pertama Malaysia pada hujung babak pertama. Ternyata gol itu membangkitkan semangat juang pasukan Malaysia pada babak kedua dengan berjaya mengawal rentak permainan MU yang sering kehilangan bola. Gol kedua Amri juga telah membuka mata penyokong MU tentang sebenarnya hati mereka tetap menyokong bola sepak Malaysia.
Tahniah penyokong MU. Saya rasa sangat tergelak melihat gelagat rakyat Malaysia yang memakai jersi MU tetapi terlompat-lompat keriangan apabila Malaysia berjaya menjaringkan gol. Walaupun hampir segenap pelosok Stadium diwarnai warna merah jersi The Red Devil atau Syaitan Merah, ternyata ngauman dan amukan Harimau Malaya pantas mencemaskan barisan pemain MU yang terpaksa bekerja keras mencari gol kemenangan. Mungkin kerana kesilapan taktikal jurulatih Malaysia yang terikut melakukan pertukaran ramai pemain menyebabkan fokus pemain Malaysia terjejas sehingga membuka ruang pemain Prolifik Eropah dan MU yang baharu iaitu Michael Owen menjaringkan gol kemenangan MU.
Emm tapi gol pertama dan gol ketiga MU seperti Ofside. Kalau benar maknanya Malaysia 2 MU 1. Malaysia menang la.
Andai keputusan semalam berakhir seri tentunya akan menjadi muka depan akhbar seluruh dunia tetapi laporan muka depan media seperti ESPN, AL Jazeera, Agensi Berita Antara dan BBC memaparkan kemunculan Owen pertama bersama MU dengan langkah kanan. Apa-apapun kita lupakan sejenak masalah MU gara-gara terpalit malu dibolosi dua kali oleh pemain Asia yang tidak ternama. Mungkinkah selepas ini, Amri Yahyah akan dilamar oleh pasukan elit seperti Real Madrid, Barcelona, Inter Milan mahupun Arsenal? Agak sinis dan mustahil kenyataan itu.
Tetapi nampaknya Pasukan Malaysia atau MU berpeluang menebus kembali perlawanan semalam dengan kembali berentap dalam perlawanan ulangan pada Isnin ini 20 Julai 2009. Apa yang diharapkan, Pasukan Malaysia dapat beraksi lebih pantas dan bijak kali ini. Tidak mustahil pasukan negara akan mencapai kemenangan tipis 1-0 atau setidak-tidaknya seri 0-0. Semoga berjaya Malaysia. Kepada rakyat Malaysia di KL, penuhi stadium dengan memakai jersi kebangsaan dan membawa Jalur Gemilang atas nama semangat Malaysia Boleh!

No comments: