Friday, May 15, 2009

Kebakaran dahsyat di Kampung Muslim Batu Arang : Hulurkan bantuan kepada mereka atas semangat kemanusiaan

LABUAN: Lebih 300 orang kehilangan tempat tinggal apabila kira-kira 270 daripada 450 buah rumah di Kampung Muslim Batu Arang musnah dalam kebakaran besar awal tengah hari, kelmarin.
Difahamkan 90 peratus penghuninya adalah merupakan warga asing Filipina yang sebelum ini kawasan itu dijadikan sebagai pusat penempatan pendatang tanpa izin.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat, Wilayah Persekutuan Labuan, Irwan Husin, lebih 120 anggota bomba termasuk sembilan pegawai bersama enam buah jentera bomba dari Balai Bomba Labuan, Balai Bomba Jawa dan Balai Bomba Layang-Layang dikejaarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.40 pagi.
Katanya, bomba yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 11.45 pagi berjaya mengawal api daripada terus merebak kira-kira jam 3.15 petang.
“Kira-kira 270 buah daripada 450 buah rumah gagal untuk diselamatkan apabila api begitu cepat merebak disebabkan angin dan panas terik…bagaimanapun 180 buah daripadanya berjaya diselamatkan.
“Pihak bomba dan polis masih lagi menjalankan tugas masing-masing termasuk untuk mengawal api daripada merebak semula,” katanya ketika dihubungi di sini petang kalmarin.
Menurut Irwan, turut memberikan bantuan dalam kerja-kerja memadam dan menyelamat ialah anggota Bomba Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Jabatan Bekalan Air Labuan, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Polis Di Raja Malaysia dan Rela serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Semantara itu, Irwan berkata, sehingga jam 3.15 petang ini (semasa berita ini di tulis) pihaknya belum ada menerima laporan kehilangan jiwa.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya.
Dalam pada itu, menurut sumber lain, kesemua mangsa yang kehilangan tempat tinggal dilaporkan di tempatkan sementara di Kem Penempatan Pelarian di Kampung Kiansam.
Salah seorang penduduk, Abidin Julahi, 35, memberitahu beliau sedang bersama keluarganya ketika kebakaran berlaku.
“Waktu itu 11.30 pagi, saya terdengar jeritan kuat di luar rumah saya… asap… asap… asap, dan setelah saya tengok, kebakaran itu telah pun merebak dekat dengan rumah saya. Tiada apa yang boleh saya lakukan selain daripada menyelamatkan harta benda dan anak-anak dan kemudian menyelamatkan diri. Kami anggarkan hampir 800 buah rumah di empat blok sudah pun musnah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Aminah, 65, berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana menyelamatkan beliau dan keluarganya.
“Tidak mengapalah barang-barang kami musnah dalam kebakaran ini. Saya bersyukur kerana keluarga saya selamat,” katanya.
Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal menggesa jabatan dan agensi kerajaan supaya menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran.
“Ini atas dasar kemanusiaan. Kami harap masyarakat yang bermurah hati akan turut tampil memberi sumbangan. Ketika ini, para pegawai Parlimen saya akan membantu mereka dan mengumpul segala maklumat yang perlu.

No comments: