Monday, September 15, 2008

HARAPAN BARU BUAT SINDROM DOWN

Hospital Pusrawi kini menjadi peneraju utama di Malaysia yang menyediakan rawatan Xenotransplan sel stem iaitu pemindahan sel stem yang berpotensi menggalakkan pertumbuhan semula tisu rosak atau memperbaiki kecacatan organ pesakit yang menghidap penyakit melibatkan saraf.
Pakar dan pengasas Xenotransplan terkemuka dunia, Profesor Dr. E.Micheal Molnar berkata, kaedah tersebut yang menggunakan fetus arnab untuk dijadikan sel stem mampu memberikan keajaiban kepada pesakit saraf termasuk penyakit-penyakit lain seperti barah darah (leukemia), talasemia, jantung, diabetes dan penyakit parkinson.
''Dengan teknologi Xenotransplan BCRO Stem Cell Transplantation Sdn. Bhd, mereka yang mengalami kecederaan atau penyakit-penyakit berkaitan saraf yang lain tidak lagi perlu hidup dalam kesakitan.
''Ini kerana, menerusi pemindahan sel stem, ia berfungsi menggalakkan sel yang masih sihat di sekitar kawasan yang cedera menggantikan semula sel yang rosak pada tisu atau organ sekali gus mengembalikan semula kesihatan tubuh badan pesakit, '' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, rawatan Xenotransplan juga berkesan untuk penyakit seperti Sindrom Down dan Autisme.
Katanya juga, sejak dimulakan pada tahun 2006, hasil penyelidikan yang dijalankan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), sehingga kini seramai lebih 200 pesakit yang berkaitan telah berjaya dirawat di negara ini walaupun ada yang beranggapan kos rawatan agak mahal.
'' Walaupun ia telah lama diperkenalkan di negara-negara lain, kejayaan itu membuktikan bahawa Xenotransplan mempunyai masa depan yang cerah dalam membantu pesakit-pesakit di negara ini,
''Dengan kos sebanyak RM26,500 bagi kanak-kanak manakala RM60,000 untuk dewasa, ia mungkin dianggap mahal, tetapi pulangan kesihatan yang diperoleh sebenarnya lebih utama, tambahan pula, kerajaan Malaysia memberikan sokongan sepenuhnya terhadap penggunaan teknologi ini, '' katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin kaedah rawatan tersebut akan mendapat sambutan di kalangan warga Malaysia meskipun ia tidak dilakukan secara komersial.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau sekeras-kerasnya menafikan kenyataan sebuah akhbar tempatan yang mengatakan bahawa pemindahan sel stem tidak sesuai untuk manusia.
Katanya, artikel tersebut yang menerangkan bahawa kaedah pemindahan sel stem boleh memberi kesan negatif kepada tubuh manusia kerana faktor berlainan spesies adalah tidak benar.
Selain itu, beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh Profesor Dr. Collin P. McGuckin dan Setiausaha Malaysian Tissue Engineering Association (TESMA), Dr. Aminuddin Saim itu juga tidak mempunyai bukti.
''Saya kesal kerana mereka sewenang-wenangnya membuat kenyataan sedemikian yang sudah tentu boleh menyebabkan kekeliruan orang ramai, tambahan pula kajian mereka tidak ada bukti yang kukuh.
''Justeru, saya harap perkara ini tidak patut berulang lagi, dan mereka seharusnya membuat penelitian sebelum membuat sebarang kenyataan, '' katanya.
DR. E. Michael Molnar (kiri) bersama Pengarah Perubatan Hospital Pusrawi, Datuk Dr. Abd. Halim Abd. Jalil pada sidang media di Hospital Pusrawi, semalam.

No comments: