Saturday, February 27, 2010

Wahai manusia..jadilah manusia yang penyayang..


Al Fatihah buat Adik Syafiya Humaira..

Aku menyaksikan Buletin Utama 27 Feb.. dengan tiba-tiba air mataku mengalir tanpa disedari..sudah lama aku tidak begini. Melihat wajah kaku si anak kecil yang tidak bernyawa lagi. Sangat sedih aku mengenangkan penderitaan kanak-kanak ini sepanjang 3 tahun kehidupannya di dunia ini. Kesan deraan yang konsisten, bermakna setiap hari hidupnya penuh azab. Pendera itu seorang positif ganja. Penduduk sekitar mengetahui kejadian tapi mendiamkan diri..sungguh..kalau aku ternampak kejadian sebegitu di depan mata, maka azab jugalah akan kuberikan kepada pendera itu walau kulihat wajahnya sangat bengis dan garang. Realitinya, di mana tanggungjawab kita sebagai masyarakat penyayang..Semoga..kisah ini membuka mata dan hati kita untuk lebih bertanggungjawab dengan nasib dan masa depan anak bangsa..


HULU SELANGOR 27 Feb. - Betapa berat seksaan yang dihadapi oleh Allahyarham Syafiah Humairah Sahari sebelum dia menemui ajal, kelmarin.

Selain dipukul dan ditampar, kanak- kanak malang itu turut dipijak dan ditendang oleh teman lelaki ibunya tanpa belas kasihan, hanya disebabkan oleh kesalahan kecil yang dilakukannya.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek yang tidak berhati perut.

Hari ini, bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak itu di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati, kematian Syafiah Humairah akibat kecederaan serius termasuk kulit kepalanya terkoyak kerana dipijak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, bedah siasat mendapati, mangsa mengalami penderaan berterusan dan ia boleh dilihat berdasarkan kepada kecederaan yang terdapat pada tubuhnya.

"Terdapat kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dipercayai akibat dipukul dengan objek keras pada tubuh mangsa.

"Kesan lebam turut dikesan di bahagian belakang tubuh mangsa selain di leher, pipi dan bahunya," katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital itu di sini hari ini.

Kelmarin, Syafiah Humairah mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Kanak-kanak malang itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam oleh teman lelaki ibunya, mendakwa dia terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.

Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun kemudian ditahan pukul 3 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, kematian Syafiah Humairah yang begitu kejam turut membongkar rahsia perhubungan haram antara ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejak enam tahun lalu.

Ibu kanak-kanak itu yang masih bersuami, disangkakan telah berkahwin dengan suspek kerana mereka memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan, malah, wanita itu kini sedang hamil empat bulan.

Namun, rahsia perhubungan mereka yang hanya menyamar sebagai suami isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati pasangan itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.

Difahamkan, bapa kanak-kanak malang itu yang hanya dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak tahun 2006.

Selain berhadapan tuduhan bunuh, suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang syariah kerana bersekedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah.
HULU SELANGOR 27 Feb. - Seorang saksi mendakwa, dia ternampak Syafiah Humairah Sahari disepak seperti bola selain dicampak dan dipijak oleh teman lelaki ibu kanak-kanak itu.

Kejadian itu, menurut Ahmad Fikri Khalis Zakaria, 19, berlaku di sebuah padang bola di Kampung Batu 30, Batang Kali di sini kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu.

Ahmad Fikri Khalis berkata, pada masa itu dia ternampak kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut sedang bermain bola di tepi padang berkenaan.

Katanya, suspek yang dipanggil Abang Mat tiba-tiba datang dengan memakai kasut but bola dan memarahi mangsa.

"Abang Mat kemudian menyepak mangsa seperti bola, selepas itu dia mengangkat Syafiah Humairah menggunakan sebelah tangan sebelum mencampakkan kanak-kanak itu ke atas padang.

"Tidak cukup dengan itu, suspek memijak perut mangsa dengan kasut bola dan menyepak beberapa kali bahagian belakang budak tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Kematian Allahyarham Syafiah Humairah mengundang rasa marah semua pihak kerana dia dibunuh teman lelaki ibunya secara kejam, kelmarin.

Akibat rasa marah dengan kejadian itu, penduduk setempat turut menconteng dinding hadapan rumah suspek dengan perkataan 'pembunuh' menggunakan cat merah.

Tambah Ahmad Fikri, mangsa yang tidak menangis ketika itu cuba berdiri tetapi jatuh semula kerana kecederaan yang dialaminya.

Seorang lagi saksi, Faleeq Hakim Zazali, 16, berkata, dia dan Ahmad Fikri cuba membantu mangsa namun dihalang suspek.

"Untuk memastikan Abang Mat tidak terus memukul mangsa, kami hanya mampu mengangkat kanak-kanak itu dan memasukkannya ke dalam teksi suspek.

"Namun, pada sebelah malam, kami dengar berita kanak-kanak itu telah meninggal dunia di hospital," ujarnya.

HULU SELANGOR 27 Feb. - Kanak-kanak mangsa penderaan teman lelaki ibunya yang meninggal dunia dalam keadaan sadis kelmarin, Syafiah Humairah Sahari sering ketakutan setiap kali melihat atau bertembung dengan suspek.

Kanak-kanak tiga tahun itu sanggup bersembunyi di kawasan semak di sekitar rumahnya bagi mengelak daripada ditemui oleh lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Perkara itu didedahkan oleh datuk mangsa, Aziz Shahar, 50, yang memberitahu, sejak menyedari tingkah laku aneh cucunya itu, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Dalam nada sebak, Aziz yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini berkata, dia begitu sedih dengan kejadian yang menimpa cucunya itu.

"Saya pernah melihat kesan parut dan luka seperti dicucuh dengan puntung rokok di kaki dan bawah dagu cucu saya.

"Namun, setiap kali saya bertanya, Syafiah Humairah hanya mendiamkan diri," katanya.

Menurut Aziz, dia tidak dapat memaafkan sesiapa juga suspek yang terlibat dalam pembunuhan cucunya itu, termasuklah jika anak perempuannya sendiri terbabit.

"Saya tidak akan maafkan mereka, walaupun jika dia itu anak saya sendiri," katanya sambil menangis teresak-esak.

Aziz memberitahu, Syafiah Humairah dan abangnya, Mohd. Syafiq Sahari, 7, tinggal secara bergilir-gilir di rumahnya dan kekasih ibunya sejak tahun lalu.

Sementara itu, ibu Allahyarham Syafiah Humairah, Siti Norhanim, 25, ketika ditemui mendakwa, dia tiada di rumah ketika kejadian itu berlaku.

"Saya keluar bekerja sejak Rabu lalu dan tidur di rumah rakan di Cheras. Dia (teman lelakinya) menghubungi saya malam Khamis lalu memberitahu Syafiah mati akibat terjatuh motosikal," katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di ibu negara


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Sungguh tergamak hati segelintir manusia untuk berlaku kejam dan menyiksa kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun sehingga mati.

Apalah kanak-kanak malang itu tahu, sehingga menyebabkan dia dipukul dan diseksa sehingga menemui ajal.

Tanpa rasa kasih sayang, kanak-kanak perempuan ini, Syafia Humairah Sahari mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali malam tadi.

Difahamkan, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak perempuan itu termasuk di bahagian dagu, perut dan bawah telinga.

Kanak-kanak itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam tadi oleh teman lelaki ibunya, yang merupakan seorang pemandu teksi.

Pemandu teksi itu yang ditemani rakannya di hospital mendakwa kanak-kanak itu cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Jururawat yang memeriksa mangsa mencurigai sesuatu apabila lelaki tersebut seolah-olah resah dan tidak mahu memberi sebarang keterangan berhubung kemalangan itu.

Sebaliknya, dia mendakwa perlu meninggalkan kanak-kanak itu di hospital untuk bergegas ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kemalangan itu.

Bagaimanapun, perkara itu terbongkar apabila pihak hospital menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk mengetahui status kemalangan itu dan mendapati tiada sebarang laporan kemalangan jalan raya dibuat di mana-mana balai di kawasan tersebut.

Doktor yang mengesyaki kanak- kanak itu menjadi mangsa dera kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, berikutan laporan itu, polis menahan teman lelaki ibu mangsa, berusia 28 tahun kira-kira pukul 3 pagi ini bagi membantu siasatan.

"Selepas disoal siasat, suspek mengaku memukul serta menampar mangsa sebelum dia rebah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ibu kepada kanak-kanak itu dikatakan pengsan selepas mendengar anaknya itu mati dan kini sedang dirawat di hospital yang sama.

Difahamkan, wanita yang berstatus ibu tunggal berusia 25 tahun itu mempunyai hubungan intim dengan suspek sejak enam tahun lalu dan hasil perhubungan itu juga, mereka mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan.

Menurut Norel Azmi, polis turut mengambil keterangan daripada ibu kanak-kanak terbabit petang ini di bilik mayat hospital.

"Siasatan awal mendapati, suspek mengaku mendera kanak-kanak itu bersama teman wanitanya menggunakan objek tajam," katanya.

Sementara itu, bapa kandung kanak-kanak malang terbabit ketika ditemui di rumahnya dekat sini hari ini bagaimanapun enggan ditemuramah kerana masih dalam keadaan trauma.

Friday, February 26, 2010

Pemanasan Global, di mana tanggungjawab kita melestarikan kesucian alam sekitar?

LONDON: Ahli sains memberi amaran terhadap situasi di mana satu bongkah ais besar yang pecah di benua Antartika bulan ini boleh mengganggu arus laut dan corak cuaca dunia.

Penyelidik Australia berkata, bongkah ais yang mempunyai keluasan menyamai negara Luxembourg boleh menghalang kawasan yang mengeluarkan suku daripada kadar ketumpatan air dunia dan menyebabkan air laut sangat sejuk.

Mereka berkata, pengeluaran kadar air yang perlahan mempengaruhi cuaca musim sejuk, apabila mampu menyumbang kepada catatan suhu lebih tinggi di utara Atlantik.



Ketika ini, bongkah itu dikesan =terapung di selatan Australia.

Seorang pengkaji sains bumi di Pusat Penyelidikan Cuaca Antartik dan Ekosistem di Tasmania, Dr Neal Young, berkata kepada BBC, sebarang gangguan kepada pengeluaran air yang sangat sejuk, dikenali air bahagian bawah, akan memberi kesan kepada arus laut dan mempengaruhi corak cuaca pada masa akan datang.

"Kawasan itu menyumbang kira-kira 25 peratus pengeluaran air bahagian bawah di Antartika, dan seterusnya akan mengurangkan pembalikan kadar peredarannya.

"Kita tidak dapat melihat perubahan itu serta merta, tetapi ia memberi kesan terhadap aliran air ke hilir. Malah, ia juga meninggalkan implikasi terhadap haiwan seperti burung penguin dan hidupan liar lain bagi kawasan yang kiebiasaannya menjadi tempat untuk mendapatkan makanan," katanya. - bbc.co.uk

Thursday, February 11, 2010

ok ba kalau kau

Alkisah pada hari ini 11hb, seorang murid berumur 11tahun telah menghadiahkan aku sebuah lukisan. sekali pandang, tetiba aku rasa nak kenakan budak ni dengan hujah-hujah aku yang merepek sebentar lagi. arakian, lukisan yang dijelmakan murid tadi ialah pemandangan alam semula jadi yang berlatar belakangkan gunung-ganang. yang peliknya matahari itu terlalu besar buat gunung. seraya aku bertanya kepada murid itu, kenapakah matahari yang besar amat ini berada di atas gunung. Lantas murid itu menjawab, matahari sememangnya terbenam di gunung. Lalu aku menangkis dakwaan beliau dengan berkata "wahai murid matahari itu berada di langit yakni di luar bumi, kalaulah matahari itu berada di gunung, nescaya akan terbakar dan hancurlah gunung dan kawasan sekitarnya. Murid itu mempertahankan hujahnya dengan berkata "memang pun ada gunung yang terbakar, gunung berapi?

Monday, February 8, 2010

RPI

MATA PELAJARAN : BAHASA MELAYU
NAMA MURID : AUPANG TIONG EYEO KIEN
TARIKH LAHIR : 31.07.2000
JENIS PENDIDIKAN KHAS : SPESIFIK DISLEKSIA

Kemahiran sedia ada :
i) Murid boleh menyebut abjad a hingga z melalui nyanyian
ii) Murid boleh menulis abjad kecil dan besar tetapi tidak menurut urutan tetapi laju menulis.
iii) Murid mempunyai daya ingatan kuat bagi jangka masa pendek.

Matlamat Pencapaian akhir tahun :
i. Murid dapat menulis perkataan yang disebut guru dalam kuantiti yang banyak seperti sebuah karangan.
ii. Murid boleh membaca semua perkataan yang ditulisnya.

Objektif Jangka Pendek :
i. Latihan menulis perkataan KV yang disebut guru seperti ( ba, be, bi, bo, bu, ca, ce, ci sehingga za, ze, zi, zo, zu )
ii. Latihan menulis perkataan KVKV yang disebut guru seperti ( babo,dico,feda,baca,dadu,zobu,yoda )
iii. Latihan mengeja dan membunyikan sukukata atau perkataan.

Langkah Penguasaan Jangka Panjang :
i. Latih tubi mengeja dan menyebut
ii. Latihan membaca cerita pendek dengan kuat
iii. Menulis perkataan yang disebut guru pada setiap akhir pengajaran
iv. Mencari sukukata tersembunyi pada silang kata
v. Melengkapkan jadual sukukata

Jenis Perkhidmatan Yang berkaitan : Terapi Pertuturan
Jangka Masa Murid : 3 Bulan
Ketetapan Tarikh Mula dan Tamat : 8 FEBRUARI 2010 – 9 APRIL 2010

Ahli Jawatankuasa :

Guru Mengajar
Penyelaras Program
Penolong Kanan Pendidikan Khas
Ibubapa Murid
Pihak Berkepentingan

RPI

MATA PELAJARAN : BAHASA MELAYU
NAMA MURID : SITI AISYHA BTE SABLI
TARIKH LAHIR : 19.04.2001
JENIS PENDIDIKAN KHAS : SPESIFIK DISLEKSIA

Kemahiran sedia ada :
i) Murid boleh menulis abjad kecil dan besar tetapi kadang-kadang keliru dan agak lambat menulis.
ii) Murid boleh menyebut abjad a hingga z
iii) Murid suka bertanya setiap perkataan yang baharu ditulisnya.
iv) Murid boleh membaca dengan baik tetapi masih keliru dengan beberapa perkataan tertentu

Matlamat Pencapaian akhir tahun :
i. Murid dapat mempercepatkan lagi kelajuan dalam menulis.
ii. Murid boleh menulis perkataan yang disebut guru dengan cepat dan betul
iii. Murid memahami setiap petikan yang dibaca

Objektif Jangka Pendek :
i. Murid dapat menulis abjad kecil dan besar dengan cepat dan betul
ii. Murid menulis sesuatu ayat tertentu dalam masa yang ditetapkan.

Langkah Penguasaan Jangka Panjang :
i. Menulis menggunakan pelbagai alat tulisan
ii. Mengeja dan membunyikan perkataan yang sukar berulang-ulang
iii. Pemberian ganjaran kepada murid jika menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan

Jenis Perkhidmatan Yang berkaitan : Terapi Motor Halus
Jangka Masa Murid : 3 Bulan
Ketetapan Tarikh Mula dan Tamat : 8 FEBRUARI 2010 – 9 APRIL 2010

Ahli Jawatankuasa :

Guru Mengajar
Penyelaras Program
Penolong Kanan Pendidikan Khas
Ibubapa Murid
Pihak Berkepentingan

RPI

RPI


Sunday, February 7, 2010

Guru perlu lebih kreatif

Pengurangan bajet oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tahun ini dilihat sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi para guru dan pihak pengurusan sekolah dalam usaha mereka bagi mengekalkan mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta melahirkan pelajar-pelajar cemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad, melalui pengurangan bajet oleh KPM itu banyak aktiviti sokongan pendidikan seperti aktiviti luar bilik darjah tidak dapat dijalankan.

''Pihak sekolah hanya dapat melaksanakan aktiviti peringkat dalaman sahaja manakala peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan tidak dapat dilaksanakan.

''Aktiviti-aktiviti sebegini penting dalam usaha mengasah bakat pelajar selain meningkatkan disiplin, motivasi dan sahsiah pelajar berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian mempunyai alasan dan sebab mereka tersendiri mengurangkan bajet tersebut dan ia dilakukan demi untuk kebaikan semua pihak terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya sekarang.

''Guru-guru tidak perlu merasa sangat terbeban dengan pengurangan bajet itu kerana ia adalah bersifat sementara. Anggap ia sebagai satu cabaran dalam usaha memartabatkan pendidikan negara dan melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

''Pengurangan bajet ini juga akan meningkatkan semangat guru-guru dan pihak pengurusan sekolah untuk berusaha lebih bagi menjadikan sekolah mereka sebagai salah satu sekolah berprestasi tinggi di negara ini. Ianya tidak mustahil untuk dicapai," jelasnya.

Sabri berkata, janganlah terlalu mengharapkan imbuhan dan bantuan dari kerajaan dan sebagai guru, kita perlu memahami juga apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan semua.

''Diharap agar guru-guru akan lebih berdaya saing dalam menunjukkan kualiti mereka selain melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

''Pengorbanan yang lebih perlu dilakukan oleh mereka dalam mendidik para pelajar dan perkara ini adalah tidak mustahil untuk dijayakan jika adanya kerjasama dan kesepaduan di kalangan guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Dalam pada itu beliau turut meminta supaya pengurangan bajet yang melibatkan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan kurang berkemampuan dikaji semula.

''Pengurangan bajet itu akan menjejaskan baucer tuisyen bagi pelajar- pelajar miskin dimana peluang untuk pelajar kurang berkemampuan mendapatkan bantuan semakin sukar dan syarat yang dikenakan lebih ketat.

''Bantuan pakaian seragam untuk aktiviti badan beruniform pelajar-pelajar miskin juga sudah tidak diberikan," katanya.

Selain itu jelasnya, pihak sekolah kini perlu menanggung sendiri perbelanjaan dan utiliti seperti bayaran bil elektrik dan bekalan air dimana kesannya lebih teruk dirasai oleh sekolah dua sesi.

''Saya meminta supaya KPM mengekalkan bajet terutamanya perbelanjaan dan utiliti sekolah kerana ianya dirasakan tidak adil kepada pihak sekolah," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina berkata, pihak sekolah memahami kehendak KPM mengurangkan bajet kerana faktor kegawatan ekonomi negara sekarang.

Namun begitu katanya, sebaiknya segala peruntukan yang melibatkan Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) serta latihan perguruan tidak perlu dikurangkan atau disentuh langsung.

''Pengurangan itu bakal menyebabkan terjejasnya tujuan pendidikan selain akan membantutkan usaha dalam melahirkan guru-guru cemerlang di negara ini," katanya.